ISNIN, 12 APRIL 2021
SIBU: Sebanyak RM1.8 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Sarawak bagi membaik pulih bangunan Sekolah Agama Rakyat Masjid An-Nur Sibu.
Menurut Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr. Annuar Rapaee, selain bangunan, kokurikulum sekolah tersebut juga akan dinaiktaraf.
Jelas ADUN Nangka itu lagi, Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS) telah mencadangkan agar Majlis Agama Islam Sarawak mengambil alih dari segi pentadbiran dan kokurikulum sekolah itu.
“LAKIS telah mencadangkan untuk Majlis Agama Islam Sarawak mengambil alih dari segi pentadbiran sekolah dan kokurikulum. Cadangan kita agar ianya selari dengan MATTARY di Kuching,” katanya kepada media semasa Majlis Penyerahan Projek Baikpulih Sekolah Agama Rakyat Masjid An-Nur Sibu pada Ahad.
Hadir sama Timbalan pengerusi LAKIS Mahmud Ahad dan Setiausaha LAKIS Jamil Julaihi.
Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak itu menambah langkah untuk membenarkan bangunan tersebut digunakan oleh Majlis Agama Islam Sarawak selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk mewujudkan Sekolah Antarabangsa Islam.
“Jadi saya berharap sekolah ini akan menjadi salah satu ‘feeder’ untuk Sekolah Antarabangsa Islam tersebut,” katanya lagi.
Sekolah tersebut mempunyai dua buah blok iaitu Blok A dan Blok B yang akan memuatkan seramai 25 orang pelajar iaitu dari Darjah 1 sehingga Darjah 6.
Ia juga akan dilengkapi dengan bilik komputer, perpustakaan, surau, bilik multimedia dan kantin. – EDISI UKAS