Tiada Tempat Disisihkan Di DUN Bukit Kota Untuk Terima Pembangunan – Datuk Dr Abdul Rahman

ISNIN, 12 APRIL 2021

LIMBANG: Perancangan di peringkat bawah sangat penting untuk memastikan keperluan pembangunan di sesuatu kawasan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. 

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, dalam konteks ini Ketua Kampung diibaratkan sebagai Ketua Menteri, kerana mereka perlu merancang pembangunan yang hendak dilaksanakan di kampung masing-masing. 

“Kalau di DUN Bukit Kota tiada tempat yang kita sisihkan, saya juga selalu turun padang walaupun hasrat saya ingin berkempen secara bersemuka tetapi disebabkan keadaan COVID-19 turun naik, jadi saya mengambil pendekatan lain dengan mengadakan lawatan kerja.

“Walaupun dalam lawatan kerja tersebut kita tidak ramai tetapi ia turut disertai oleh pemimpin-pemimpin setempat dan kita juga menggunakan kuasa media sosial untuk memviralkannya,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Penutupan Seminar Kepimpinan Komuniti DUN Bukit Kota di Dewan Kampung Bunga Raya, Limbang pada Sabtu. 

Sementara itu, Datuk Dr Abdul Rahman yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota ketika ditemui selepas majlis itu memberitahu pembatalan Bazar Ramadan di Daerah Limbang adalah untuk mengelak perhimpunan orang ramai.


“Ekoran daripada kes tersebut pihak Majlis Daerah Limbang telahpun membuat keputusan untuk membatalkan Bazar Ramadan pada tahun ini sama ada Bazar Ramadan yang dikendalikan sendiri oleh Majlis Daerah Limbang mahupun Bazar Ramadan yang dikendalikan oleh persatuan-persatuan.

“Walau bagaimanapun untuk gerai-gerai individu di kampung-kampung dibenarkan tetapi mereka diminta untuk mengamalkan SOP yang ketat,” ujarnya. 

Untuk rekod, ada sebuah rumah panjang di Daerah Limbang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu disebabkan ada pertambahan kes di lokasi tersebut. 

Hadir sama Ketua Pemuda PBB Bukit Kota Kaunselor Sufian Mohat dan Pegawai Tadbir Khas Unit Komunikasi Awam Sarawak Datu Takun Sunggah. -EDISI UKAS

Share
0