30 Qari Dan Qariah Sertai Majlis Tilawah & Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak

SELASA, 13 APRIL 2021

KUCHING: Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak bagi tahun 1442H/2021M yang bertemakan ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’ akan menyaksikan seramai 30 peserta dari seluruh bahagian di negeri ini.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam & DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi memberitahu, majlis yang akan berlangsung selama tiga hari tersebut diadakan kembali pada tahun ini selepas tidak mengadakannya pada tahun 2020 berikutan pandemik COVID-19.

“Majlis Islam Sarawak (MIS) akan menganjurkan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak pada tahun ini pada 17 April hingga 19 April bertempat di Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, Kompleks Islam Sarawak.

“Ada dua komponen atau bahagian dalam majlis kita ini, iaitu Majlis Tilawah Al-Quran dan Majlis Menghafaz Al-Quran,” katanya dalam sidang media di Kuching pada Selasa.

Menteri Muda Utiliti itu juga menjelaskan, bagi majlis tilawah Al-Quran, seramai 20 peserta terlibat dan bagi majlis menghafaz Al-Quran pula seramai 10 orang.

“Pada tahun ini, untuk majlis tilawah Al-Quran, kita ada 20 peserta iaitu 10 qari dan 10 qariah dan mereka ini datang daripada pelbagai bahagian dari seluruh Sarawak untuk menyampaikan bacaan masing-masing.

“Manakala untuk kategori menghafaz Al-Quran, seramai lima qari dan lima qariah terlibat dan kita telah pecahkan kategori tersebut kepada tiga iaitu juzuk 1 hingga juzuk 10, juzuk 1 hingga juzuk 20 dan juzuk  1 hingga juzuk 30,” jelas beliau lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu memberitahu, penganjuran majlis itu akan diadakan dengan mematuhi garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Tambahnya lagi, majlis itu akan disiarkan secara langsung melalui Facebook bagi memastikan masyarakat dapat mengikuti majlis tersebut walaupun tidak dapat hadir secara fizikal.

Datuk Dr Abdul Rahman menambah, Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg akan hadir pada 19 April bagi menyempurnakan penyampaian hadiah.- EDISI UKAS

Share
0