498 Petugas Barisan Hadapan Bukan KKM Di Bintulu Terima Vaksin COVID-19 Dos Kedua

SELASA, 13 APRIL 2021

BINTULU: Seramai 498 orang yang terdiri dari barisan petugas barisan hadapan bukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima vaksin COVID-19 dos ke dua pada Sabtu. 

Proses pemvaksinan berjalan lancar apabila dibantu sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bertugas dengan penuh komited. 

Sementara itu, Ahli Dewan Negara Senator Rita Insol ketika ditemui menyeru semua masyarakat mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin terutama penduduk rumah panjang.

“Jangan takut kerana vaksin COVID-19 ini tidak membahayakan kesihatan.

“Ini merupakan satu cara kita melawan COVID-19 dan vaksin ini dapat membantu kita melawan virus tersebut. 

“Jangan dengan khabar angin yang mengatakan vaksin ini tidak bagus,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 dos kedua di Dewan Sri Kenyalang UPM Bintulu pada Sabtu. 

Dalam pada itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Leftenan Raidah Joni yang ditemui melahirkan rasa syukur dan lega kerana telah mendapat suntikan vaksin COVID-19 dos kedua. 

“Saya tiada rasa apa-apa masalah cuma terasa letih dan pening sedikit mungkin kerana cuaca yang agak panas.

“Bersama saya 40 orang anggota APM Bintulu yang turut menerima dos kedua vaksin COVID-19 dan bakinya pada  Ahad. 

“APM adalah salah satu anggota barisan hadapan yang diberi kedua-dua dos vaksin COVID-19 bagi menjaga keselamatan,” katanya. -EDISI UKAS

Share

add comment