Berita Palsu Di Media Sosial, Tindakan Tegas Akan Diambil

SELASA, 13 APRIL 2021

LIMBANG: Penyebaran maklumat yang salah dan berunsurkan fitnah bukan sahaja membuatkan masyarakat keliru, tetapi juga menidakkan pembangunan yang telah dibawa Kerajaan Sarawak kepada rakyat. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, misalnya penyebaran berita yang tidak benar mengenai Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Pembinaan Jalan Simen di Kampung Belading telah mendapat kecaman daripada netizen.

“Projek RTP Pembinaan Jalan Simen di Kampung Belading yang diviralkan di media sosial telah mendapat kecaman netizen dan menuduh saya menyalahgunakan peruntukkan yang disalurkan. 

“Hakikatnya projek tersebut telah siap sepenuhnya dan ini telah disahkan oleh agensi pelaksana iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) Limbang melalui laporan yang dikemukakan semasa mesyuarat penyalarasan RTP DUN Batu Danau,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kepimpinan Komuniti DUN Batu Danau yang diadakan di Dewan Bunga Raya, Limbang pada Ahad. 

Jelas Paulus lagi, jika keadaan sebegini berterusan, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang bagi memastikan perkara ini tidak akan berulang. 

Dalam pada itu, ujar Paulus lagi, sejak 2015 hingga 2020 sejumlah 186 jenis projek pembangunan telah dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Danau yang merangkumi pembinaan fasiliti seperti projek pembinaan bangunan, infra, tapak, sukan dan sebagainya. 

Beliau turut memberitahu kewujudan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) telah merancakkan lagi agenda dan projek pembangunan di Daerah Limbang selain projek RTP yang sedia ada dan Projek Rakyat. 

Hadir sama Pegawai Khas Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Datu Takun Sunggah, Ketua Pergerakan Pemuda PBB DUN Batu Danau Kaunselor Elvis Mathew dan Timbalan Pengerusi SADIA Pampang Limbang Jangan Bakar. -EDISI UKAS

Share

add comment