JKKK Daerah Asajaya Terima Geran RM130,000

SELASA, 13 APRIL 2021

ASAJAYA: Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang hadir menyerahkan geran peruntukan program dan aktiviti jawatankuasa pengurusan masjid dan surau Daerah Asajaya Tahun 2021 sebanyak RM130,000 di Dewan Tan Sri Datuk Amar Haji Abg Ikhwan Zaini, Asajaya pada Isnin.

Menurut Rubiah, penyerahan geran kali ini dibahagikan kepada tiga fasa yang melibatkan 32 jawatankuasa masjid dan surau daerah Asajaya termasuk Samarahan dan Stakan.

Jelasnya, peruntukan geran tersebut adalah untuk membantu jawatankuasa yang berkenaan mengadakan program dan aktiviti terutamanya sepanjang bulan Ramadan ini.

Dalam pada itu, Rubiah berharap agar pihak pengurusan masjid dan surau dapat memanfaatkan geran yang diberi bagi memupuk perpaduan dalam kalangan penduduk setempat.

Sehubungan itu, beliau juga menegaskan kepada pihak pengurusan sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika mengadakan program dan aktiviti di kawasan masing-masing.

“Langkah-langkah pencegahan sangat penting bagi membendung penularan COVID-19.

“Ini kerana terdapat beberapa penularan kes positif dicatat bagi daerah Asajaya,” katanya. –EDISI UKAS

Share

add comment