Ketua Institusi Agama Sebulat Suara Sokong Program Imunisasi COVID-19

SELASA, 13 APRIL 2021

KUCHING: Penularan wabak COVID-19 yang bermula pada tahun 2019 telah menjejaskan ekonomi, sosial dan institusi kesihatan di seluruh dunia.

Bagaimanapun, dengan kewujudan vaksin COVID-19 baru-baru ini telah memberikan sinar harapan dalam mengawal pandemik secara global.

Sehubungan itu, pihak institusi keagamaan menerusi kenyataan kepada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menyokong penuh program imunisasi yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian wabak COVID-19.

“Ini adalah tanggungjawab masing-masing untuk mengambil vaksin COVID-19 bagi menjaga keselamatan diri sebagai langkah pencegahan jangkitan virus tersebut,” kata kenyataan itu.

Majlis Islam Sarawak juga menjelaskan perkara sama selepas mengadakan mesyuarat bersama dengan kerajaan Sarawak bagi membincang dan menjelaskan perkara berkaitan dengan program imunisasi yang dilancarkan.

Ini juga merupakan pendirian daripada institusi agama utama yang lain di Sarawak iaitu Persatuan Gereja-Gereja Sarawak, Persatuan Kristian Evangelis Sarawak, Persatuan Buddha Malaysia Cawangan Sarawak, Majlis Hindu Sangam Negeri Sarawak, Persatuan Kuil Sikh Sarawak, Majlis Rohani Baha’i Sarawak dan Persatuan Hokkein Kuching yang mewakili Taoist.

Kerajaan negeri sedar peranan penting institusi agama di Sarawak terutamanya dalam mempromosikan program imunisasi kerajaan yang bertujuan mewujudkan keimunan kelompok dalam kalangan masyarakat.

Oleh itu, sokongan padu daripada ketua-ketua institusi keagamaan pada Program Imunisasi COVID-19 merupakan satu tindakan yang dapat membantu menjayakan program tersebut.

“Kita perlu bersatu tanpa mengira kaum dan kepercayaan dalam memerangi pandemik ini kerana ianya juga tidak memilih untuk menjangkiti mana-mana bangsa dan agama,” tambah mereka lagi.

Selain itu, ketua-ketua institusi agama juga memohon kepada orang ramai agar mendaftarkan diri untuk mengambil vaksin COVID-19 dan menyokong usaha inklusif program imunisasi kerajaan negeri. –EDISI UKAS

Share

add comment