Ketua Kaum, Pengerusi JKKK Perlu Pantau Projek Rakyat

SELASA, 13 APRIL 2021

SADONG JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Ir. Aidel Lariwoo mahu Ketua Kaum dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memantau setiap projek rakyat yang dilaksanakan di kawasan masing-masing.

Ujarnya, usaha tersebut juga memerlukan pengerusi parti bagi memastikan projek dilaksanakan dengan baik dan mematuhi spesifikasi yang telah ditetapkan.

Bercakap semasa ditemui selepas menyempurnakan Simbolik Program Baikpulih Rumah Rakyat 2021 di Kampung Jaie, Sadong Jaya pada Ahad, beliau juga berharap selain projek, kebajikan penduduk kampung turut diberi perihatian.

Katanya, mereka perlu peka dan memanjangkan permasalahan rakyat kepada pihak kerajaan dan agensi berkenaan.

Sementara itu, penduduk kampung menerima baik projek yang dirasmikan pada hari itu dan berharap projek yang sama diteruskan pada masa akan datang.

Pada program berasingan Aidel turut berkesempatan menyaksikan perlawanan peringkat akhir Kejohanan Bola Sepak Piala YB Ir Aidel Lariwoo Sadong 2020 di SK Iboi, Pelandok, Sadong Jaya.

Dalam ucapannya, beliau berkata, kejohanan yang turut menarik penyertaan luar itu mampu mencungkil bakat baharu bola sepak khususnya di Sadong Jaya untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Tambahnya, pertandingan juga menjadi wadah kepada perpaduan pelbagai kaum dan agama.

Dalam pada itu, kejohanan menyaksikan pasukan Saiko FC (Empila) mengungguli gelaran juara dan Dizhwar FC (Kuching) dikedudukan naib juara manakala JRS FC (Kuching) dan Armada FC (Sebangan) ditempat ketiga bersama bagi kategori terbuka.

Pasukan Sri Muara (Muara Tebas) juara kategori veteran manakala Armada SV (Sebangan) meraih naib juara dan tempat ketiga bersama disandang DUN N24 Sadong Jaya dan SBM FC (Asajaya).-EDISI UKAS

Share

add comment