KKM Kerah Lebih Ramai Petugas Kesihatan Bantu Kendali Pandemik COVID-19 Di Sarawak

SELASA, 13 APRIL 2021

KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengerahkan lebih banyak petugas kesihatan termasuk di negeri lain untuk membantu mengekang penularan wabak COVID-19 di negeri ini.

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Adham Baba, ini bagi mengatasi isu kekurangan kakitangan dalam proses 3T (tracing, testing, treatment), isolasi dan Pusat Kuarantin Dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

“Petugas kesihatan adalah dari zon hijau di Sarawak dan petugas dari negeri lain.

“Anggaran adalah sebanyak 300 hingga 500 petugas di pelbagai kategori seperti doktor, jururarawat dan termasuk mereka yang membuat ujian pantas di lapangan,” katanya ketika ditemubual media semasa melawat ke pusat vaksinasi COVID-19 di Kuching pada Selasa.

Katanya, kira-kira sejumlah 2.3 juta penduduk Sarawak tidak termasuk berusia 18 tahun ke bawah akan diberikan suntikan vaksin covid-19.

“Dan Kerajaan Negeri Sarawak sendiri juga telah membantu mendapatkan bekalan vaksin ini dengan kos yang ditanggung oleh kerajaan Sarawak” ujarnya.

Tambah beliau, Sarawak berkemampuan menangani pusat vaksinasi secara besar-besaran (mass vaccination centre) yang dikendalikan KKM setakat ini.

Turut hadir semasa kunjungan itu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Profesor Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang dan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Chin Zin Hing. – EDISI UKAS

Share

add comment