KMKK Bahagian Bintulu Dikehendaki Pantau Dan Lapor Aktiviti Sosial Di Kawasan Masing-Masing

SELASA, 13 APRIL 2021

BINTULU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) diminta untuk memantau dan melaporkan aktiviti sosial yang diadakan di kampung dan rumah panjang di Bahagian Bintulu. 

Pemangku Pegawai Daerah Tatau Calvin Ligong berkata ini membolehkan pejabat daerah menasihati dan memberi pandangan khususnya berkaitan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu dipatuhi.

“Kita sedia maklum peningkatan kes COVID-19 yang berlaku di Bahagian Bintulu. 

“Justeru, KMKK dinasihatkan untuk memperketatkan SOP di peringkat komuniti masing-masing.

“Bagi penduduk yang berada di bandar elakkan untuk balik ke kampung atau umah panjang pada masa ini jika tiada hal-hal yang mustahak,” katanya semasa ditemui selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 dos kedua di Dewan Sri Kenyalang, Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu pada Ahad. 

Dalam pada itu, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kidurong Rosli Salleh ketika ditemui melahirkan keyakinan untuk mengurus dan mentadbir sekolah dengan lebih selamat selepas melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 dos kedua. 

“Semoga pendidikan dapat berjalan dengan lancar apabila kita mendapat imunisasi. 

“Mewakili warga pendidik mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di atas program pemvaksinan yang sedang dijalankan ini. 

“Kita berharap program ini dapat diperluaskan kepada semua warga pendidik yang menjaga sistem pendidikan di negara ini,” katanya. 

Seramai 870 orang petugas barisan hadapan yang terdiri daripada bukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melengkapkan suntikan vaksin dos kedua di Pusat Pemberian Vaksin, UPM Kampus Bintulu.

Hadir sama Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat Cina merangkap Ahli Parlimen Bintulu Dato Seri Tiong King Sing dan Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr. Melvin Chung Hsien Liang. -EDISI UKAS

Share

add comment