MTMD Cadang Pusat Pemulihan Akhlak Di Sarawak

ISNIN, 12 APRIL 2021

KUCHING: Kadar penggunaan dadah dan substance di Sarawak kian membimbangkan.

Menteri Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan yang juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) perlu ditubuhkan di Sarawak bagi menangani kes-kes berkenaan.

Jelasnya, tujuan PPA adalah untuk menepati usaha kerajaan Sarawak dalam membanteras penyalahgunaan dadah dan substance agar penguatkuasaan lebih menyeluruh dan aspek perundangan lebih jelas.

Tambah beliau, sebanyak tiga lokasi telah dikenalpasti mempunyai kadar penyalahgunaan dadah yang tinggi iaitu di kawasan Kampung Tabuan Melayu, Matang dan Bekenu.

“Walaupun tiga lokasi telah dikenalpasti sebagai tempat yang mempunyai kadar penggunaan yang tinggi, bukan bermakna tempat-tempat lain tidak mempunyai kes sama sekali.

“Kalau kita lihat masalah dadah di Sarawak ini bukan hanya di kawasan bandar tetapi ianya terus menular jauh ke kawasan pedalaman,” jelas beliau pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) di Kuching pada Isnin.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru semua agensi berkaitan termasuk masyarakat agar bersama-sama membanteras masalah penggunaan dadah di negeri ini untuk kesejahteraan bersama. –EDISI UKAS

Share

add comment