Peluang Perniagaan Baharu Di Galeri STATOS

SELASA, 13 APRIL 2021

KUCHING: Ahli-ahli perniagaan di Sarawak kini dapat memanfaatkan peluang perniagaan baharu di Galeri Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Singapura (STATOS).

Langkah strategik yang telah dipersetujui pada tahun lalu bertujuan untuk memberikan pulangan langsung kepada pembekal di Sarawak serta menguji pasaran Singapura dalam mencari peluang eksport baharu.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif STATOS Putrie Rozana, susulan pandemik COVID-19, warga Singapura dan penduduk di sini tidak dapat melakukan perjalanan ke Sarawak.

“Justeru, kami mahu menggunakan lokasi pejabat yang strategik di Singapura dengan sebaik mungkin.

“Ini adalah cara untuk penduduk tempatan membeli produk Sarawak dan menjana pendapatan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pulang di Sarawak.” katanya dalam kenyataan media pada Selasa

Setakat ini, 11 syarikat telah memeterai perjanjian runcit dengan STATOS menawarkan pelbagai barangan yang diguna pakai dan kraftangan.

Pembukaan Retail@galeri pada Disember 2020 diterima baik oleh pengunjung sehingga mencapai jualan bernilai lebih RM3,000 dalam empat minggu pertama.

Syarikat-syarikat yang berpangkalan di Sarawak yang ingin mengemukakan produk mereka untuk dijual atau dipamerkan boleh melayari emel ke www.statos.com.sg atau e-mel ke zeella.rahmat@statos.com.sg -EDISI UKAS

Share

add comment