Projek RTP Beri Kelegaan Kepada Penduduk Rumah Panjang

SELASA, 13 APRIL 2021

BINTANGOR: Penduduk Rumah Panjang Riti di sini kini boleh menguntum senyuman selepas kerja-kerja menaik taraf prasarana rumah berkenaan telah siap dilaksanakan.

Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing itu menelan kos sebanyak RM80,000 dengan skop projek meratakan tapak rumah panjang baharu Rumah Riti Sungai Bakong.

Semasa hadir pada majlis penyerahan projek itu pada Selasa, Datuk Ding berkata pelaksanaan projek RTP akan dijalankan secara berperingkat mengikut dana yang telah diluluskan dan kontraktor akan dilantik melalui agensi pelaksana dengan cabutan undi.

Katanya, Projek RTP juga banyak membantu untuk menyelesaikan pembangunan infrastruktur di luar bandar khususnya dalam menaiktaraf rumah panjang.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat khususnya warga Meradong untuk terus menyokong Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi membolehkan projek RTP terus dilaksanakan agar kawasan luar bandar terus membangun.

Penduduk Rumah Panjang Riti dalam pada itu berasa amat gembira dan berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak khususnya ADUN Meradong kerana telah meluluskan peruntukan untuk meratakan tapak rumah panjang baharu mereka. – EDISI UKAS

Share

add comment