Anyi Serah Geran MRP RM26,000 Kepada 4 JKKK Dalam Parlimen Baram

RABU, 14 APRIL 2021

MARUDI: Sebanyak empat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) daripada Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Pejabat Daerah Marudi pada Rabu. 

Antara JKKK yang menerima geran tersebut ialah JKKK Rh Keir Sungai Selejau Asal RM5,000, JKKK Rh Chabob Lubok Amam RM5,000, JKKK Rh Jimbau Sungai Gudang RM8,000 dan JKKK Rh Michael Selangkor Sungai Brit Marudi RM8,000. 

Dalam ucapan ringkasnya, Anyi berkata, geran yang disampaikan ini perlu dibelanjakan dengan sebaik-baiknya seperti keperluan yang diperlukan penghuni rumah panjang ini.

“Ini meliputi pembelian barangan rumah panjang memandangkan penduduk masih lagi dalam proses pembinaan rumah panjang baru,” katanya. 

Mengenai peningkatan kes COVID-19 di daerah ini, Anyi menyeru supaya penduduk jangan panik dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Marudi dengan mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Juga, peranan Tuai Rumah dan ahli JKKK perlu dipertingkatkan seperti dalam Program Kopolisian Komuniti yang telah mereka hadiri pada tahun lepas bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Hadir sama Ketua Masyarakat Iban Kawasan Marudi Pemanca Randie Bundan dan Tuai Rumah Jimbau anak Ena. -EDISI UKAS

Share

add comment