Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Teruskan Kempen Kesedaraan Wabak ASF Dan FMD Di Daerah Lawas 2021

RABU, 14 APRIL 2021

LAWAS: Jabatan Perkhidmatan Veteriner Sarawak meneruskan Kempen Kesedaraan Wabak African Swine Fever (ASF) dan Foot and Mouth Disease (FMD) di Daerah Lawas 2021.

Menurut Penolong Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Dr. Chou, kempen kali ini melibatkan kawasan pedalaman seperti Long Keberangan, Long Beluyu dan Long Tanid.

“Kempen ini telah pun bermula pada 6 April lepas meliputi kawasan Sentral Long Semadoh. 

“Ianya dibuat berdasarkan kepada kaedah temu janji yang ditetapkan kepada semua penternak  khinzir, kerbau dan sapi di kawasan itu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. 

Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Veteriner Sarawak turut melaksanakan kempen yang sama di  Long Luping, Long Nemaut dan Long Rereku.

Dalam lawatan itu juga Dr. Chou bersama pasukan Jabatan Perkhidmatan Veteriner Sarawak telah memeriksa kesemua ternakan dan sekiranya didapati bergejala akan terus diberikan perhatian dan rawatan suntikan. 

Katanya, selain mengemaskini informasi berkaitan penyakit berkenaan, setiap penternak juga akan diberikan taklimat dan risalah serta tunjuk ajar berkaitan tindakan dan langkah awal yang perlu dilakukan sekiranya mempunyai tanda-tanda bergejala pada binatang ternakan mereka.

Di samping itu, Prosedur Operasi Standard (SOP) sentiasa diutamakan dalam kempen ini bagi mengekangkan penularan wabak COVID-19 yang masih aktif di Sarawak. 

Turut sama AVO Jabatan Perkhidmatan Veteriner Sarawak  Daerah Lawas Robine Asut dan AVO Abang Noor Isham serta pegawai-pegawai teknikal. -EDISI UKAS

Share

add comment