RABU, 14 APRIL 2021
BINTULU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu mengambil keputusan memperketatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) di Bahagian Bintulu.
Menurut Menteri Utiliti Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, langkah ini diambil dalam usaha mengekang penularan wabak pandemik COVID-19 yang meningkatkan sejak kebelakangan ini di Bahagian Bintulu.
“Saya memohon maaf jika ada yang merasakan SOP ini sebagai beban.
“Kita bukan membuat SOP ini secara suka-suka, sebaliknya ianya dibuat untuk kebaikan masyarakat di Bahagian Bintulu.
“Sekiranya ini tidak dilakukan, siapa lagi yang akan melaksanakannya kalau bukan JPBB Bintulu yang diberikan tugas untuk memastikan keselamatan masyarakat Bintulu daripada penularan wabak pandemik COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu pada Selasa.
Jelasnya lagi, jika tidak dibendung kedaaan akan menjadi semakin teruk dan SOP ini akan dikuatkuasakan bermula 14 hingga 27 April 2021.
Tambahnya lagi, ujian calitan COVID-19 bagi yang merentas daerah dikekalkan.
Dato Sri Dr Stephen Rundi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena turut menjelaskan SOP uang digunapakai di Bahagian Bintulu adalah mengikut negeri Sarawak dan diubahsuai sedikit mengikut keperluan.
“Kita menggunapakai SOP mengikut apa yang dilaksanakan untuk negeri Sarawak
“Bagaimanapun, memandangkan keadaan Bintulu yang semakin meruncing, kita terpaksa mengubahsuainya mengikut keadaan semasa.
“Justeru, kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bahagian Bintulu,” jelasnya.
Ujarnya lagi, pada masa ini kemudahan kesihatan di Bahagian Bintulu seperti tenaga kerja, Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) dan pertambahan pesakit pastinya akan merumitkan lagi keadaan.
Dalam pada itu, ujar Dato Sri Stephen Rundi lagi, JPBB Bintulu juga telah mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkaitan sekolah.
“Kita mencadangkan supaya sekolah-sekolah di kawasan luar bandar dibenarkan bersekolah secara bersemuka.
“Bagaimanapun, sekolah-sekolah yang berada di bandar kita cadangkan kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak untuk meneruskan sesi pembelajaran secara atas talian,” katanya.
Manakala, perkara-perkara lain adalah tertakluk kepada SOP yang ditetapkan oleh JPBN Sarawak khususnya masa beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 8.00 malan kecuali farmasi.
Hadir sama Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat Cina yang juga Ahli Parlimen Bintulu Dato Seri Tiong King Sing, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chuk Pai, Pengerusi JPBB Bintulu yang juga Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat dan Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu, Dr Melvin Chung. -EDISI UKAS