Ketua Menteri Terima Kunjungan Hormat Setiausaha Persekutuan Sarawak Yang Baharu

RABU, 14 APRIL 2021

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Persekutuan Sarawak yang baharu, Dato’ Amir Omar di pejabatnya, Wisma Bapa Malaysia pada Rabu.

Menurut Dato’ Amir, kunjungan hormat itu bertujuan meningkatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Perbincangan ini amat bermakna kerana kita dapat mengeratkan lagi kerjasama dalam menjayakan projek-projek pembangunan di Sarawak dan kita berbincang berhubung dengan pendidikan luar bandar, isu-isu keselamatan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar khususnya di kawasan pendalaman.

“Kita juga ada berbincang bagaimana hendak mempercepatkan lagi projek-projek terutama projek yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya rakyat dapat menikmati pembangunan,” katanya ketika ditemubual media selepas kunjungan tersebut.

Ini merupakan perjumpaan pertama beliau bersama Ketua Menteri setelah menjawat tugas sebagai Setiausaha Persekutuan Sarawak pada 5 April yang lepas.-EDISI UKAS

Share

add comment