RABU, 14 APRIL 2021
BINTULU: OP Carilamat memasuki hari ketiga dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bintulu meneruskan pencarian di perairan Igan, berikutan kejadian seorang kru bot nelayan tempatan jatuh laut dua hari lepas.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata, MRSC Kuching telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pada 11 April 2021 jam 1.00 petang bagi OP Carilamat dan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) juga telah ditubuhkan di Jeti Kampung Pulau Igan.
“Keluasan sektor pencarian bagi hari ketiga dikecilkan dengan memfokuskan kawasan pencarian seluas 44.8 batu nautika sahaja di sekitar perairan laut Igan.
“Tiga aset terlibat bagi pencarian pada hari ini iaitu sebuah aset Maritim Malaysia, sebuah aset dari Pasukan Polis Marin, dan aset dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya pada Selasa.
Seramai 21 pegawai dan anggota petugas berada di lokasi kejadian serta ahli keluarga mangsa.
Ujar Komander Maritim Effendy Mohamed lagi, keadaan laut dan cuaca di lokasi kejadian pada hari ini (Selasa) dilihat baik dan diharap pencarian ini dipermudahkan dengan penemuan petunjuk baharu bagi memudahkan pengesanan mangsa.
“Persatuan Nelayan Kampung (PNK) sekitar turut dimaklumkan bagi membantu pencarian mangsa mahupun menyalurkan sebarang maklumat atau menjumpai petunjuk berkenaan dengan mangsa,” ujarnya.
Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar batalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk dan sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini yang kurang baik. -EDISI UKAS