Pejabat Daerah Selangau Baharu Mula Digunakan Jun Ini

RABU, 14 APRIL 2021

SELANGAU: Kerja-kerja pembinaan Pejabat Daerah Selangau yang baharu kini memasuki fasa terakhir dan dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang pembinaan pejabat baharu menelan kos kira-kira RM5 juta itu sudah 90 peratus siap dan dijangka boleh digunakan pada Jun ini.

Katanya, pejabat tiga tingkat itu dilengkap dengan pelbagai kemudahan untuk orang awam, bilik pegawai daerah, penolong pegawai daerah termasuk ketua masyarakat dan ketua kaum.

Beliau berkata demikian ketika ditemuramah semasa memantau projek itu pada Isnin.

Christopher kemudiannya melawat projek Tebingan Sungai Selangau yang merupakan salah satu lagi projek diluluskan Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semasa lawatannya di situ pada 2018.

Selain Pejabat Daerah Selangau dan Tebingan Sungai Selangau, projek lain yang turut tersenarai dalam projek pembangunan di DUN Tamin dengan kos keseluruhan sebanyak RM57 juta ialah pembinaan Mini Stadium Selangau, menaiktaraf Jalan Siong dan menaiktaraf Jalan Bawang. – EDISI UKAS