Pembinaan Jalan Pertanian Dari Kampung Emperoh Giam Lama Ke Kampung Emperoh Git Beri Impak Positif Kepada Rakyat

RABU, 14 APRIL 2021

PADAWAN: Projek pembinaan jalan pertanian dari Kampung Emperoh Giam Lama ke Kampung Emperoh Git akan menghubungkan dan memudahkan penduduk di kedua-dua kampung tersebut.

Menteri Muda Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr. Jerip Susil berkata, pembinaan Jalan Pertanian tersebut merupakan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang menelan kos sebanyak RM300,000.

Beliau menambah, projek jalan pertanian sejauh 2 kilometer itu akan dimulakan pada April 2021 dan dijangka siap selewat-lewatnya Ogos 2021.

“Panjang jalan ini dari simpang sini sampai ke Kampung Git adalah empat kilometer, kita akan mengadakan dua kilometer sahaja  yang akan mengambil sampai Ogos.

“Jalan tersebut akan dilengkapkan dengan tiga Culvert dan dua buah jambatan serta hanya melibatkan jarak dua kilometer,” jelasnya semasa Majlis Pecah Tanah dan Penyerahan Tapak Projek Jalan Pertanian tersebut pada Selasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu juga menambah, dengan adanya jalan pertanian itu, kawasan tanah NCR yang telah disukat di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri dapat dibangunkan selaras dengan pelaksanaan skim kopi di kawasan tesebut.

Datuk Dr. Jerip juga memaklumkan bahawa tanah NCR di kawasan tersebut telah selesai disukat oleh pihak Jabatan Tanah Dan Survei bagi mengeluarkan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 kepada penduduk Kampung Emperoh Git pada masa terdekat.

Beliau juga berharap agar dengan ada pembangunan seperti ini akan dapat memberi kemudahan infrastruktur yang baik dan memberi keselesaan penduduk di Kampung Emperoh Giam Lama dan Kampung Emperoh Git.

Sementara itu, Ketua Kaum Kampung Emperoh Git, Kidat Paon ketika ditemui berkata, beliau amat berterima kasih kepada kerajaan Sarawak atas pelaksanaan projek jalan pertanian itu.

Katanya, beliau berharap ia dapat dilaksanakan dengan jayanya kerana projek itu akan memberikan impak yang amat positif kepada pembangunan pertanian di kawasan berkenaan.

“Projek ini amat bertepatan dengan agenda projek Skim Kopi yang kini sedang dilaksanakan secara berkelompok oleh penduduk Kampung Emperoh Git serta apa-apa aktiviti pertanian yang akan dilaksanakan di masa hadapan,” katanya.-EDISI UKAS

Share

add comment