3 ‘Task Force’ JPBB Miri Berjaya Tangani Isu Kebakaran Tanah Gambur Dan Jerebu

KHAMIS, 15 APRIL 2021

MIRI: Sejak pelaksanaan tiga ‘task force’ oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri bagi menangani isu Kebakaran Tanah Gambut dan Jerebu Miri pada 13 Ogos 2020, insiden pembakaran terbuka adalah terkawal dan fenomena jerebu sudah tidak berulang.

Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga Menteri bertanggungjawab JPBB Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, kejayaan ini adalah hasil usaha bersepadu daripada Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Miri, Jabatan Alam Sekitar dan agensi-agensi lain di bawah JPBB Miri berjaya memantau dan mengawal aktiviti pembakaran terbuka khususnya di kawasan sekitar kawasan Kuala Baram Miri.

“Tiga ‘task force’ tersebut ialah Pengurusan Kawalan dan Pencegahan, Penglibatan Dengan Komuniti dan Pemilik Tanah; dan Penyebaran Maklumat, Pendidikan dan Latihan,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri Bagi Menangani Isu Kebakaran Tanah Gambut dan Jerebu pada Rabu. 

Sejak 10 tahun lepas, bandaraya Miri akan mengalami pembakaran tanah gambut dan fenomena jerebu meskipun tindakan penguatkuasaan, amaran serta kompaun telah dilaksanakan. 

Hadir sama Pemangku Residen Bahagian Miri yang juga Pengerusi JPBB Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan wakil-wakil jabatan dan agensi kerajaan di bawah JPBB Miri. -EDISI UKAS

Share

add comment