6 Taman Rekreasi Telah Dibina Di DUN Senadin, 8 Lagi Akan Dibina Pada Tahun 2021

KHAMIS, 15 APRIL 2021

MIRI: Sebanyak RM100,000 lagi akan ditambah pada tahun ini bagi tujuan menambah fasiliti Taman Rekreasi Desa Murni 1, Permyjaya. 

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, penambahan peruntukan ini bertujuan menambah fasiliti dan kemudahan yang sedia ada untuk keperluan masyarakat. 

“Sebanyak RM100,000 telah diperuntukan untuk kerja-kerja pembersihan semak samun, pembinaan sepanjang 450 meter trek larian dan bangku-bangku kecil tamam.

“Projek ini juga akan terus ditambahkan peruntukannya sebanyak RM100,000 lagi pada tahun ini untuk penambahan fasiliti taman termasuk kelengkapan permainan kanak-kanak, tempat gimnasium untuk senaman orang dewasa dan juga penanaman pertumbuhan taman rekreasi,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan trek larian dan Taman Rekreasi di Desa Murni 1, Permyjaya Miri pada Khamis. 

Datuk Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin melahirkan komitmen setiap kawasan perumahan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin yang mempunyai tanah lapang akan dimanfaatkan sebagai taman rekreasi di bawah Projek Kerajaan Sarawak.

“Ketika ini sebanyak enam taman rekreasi telah dibina di DUN Senadin di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) tahun 2020.

“Pada tahun ini, sejumlah 8 lagi taman rekreasi akan dibina iaitu dua di Tudan Desaras, satu di Desa Senadin, satu di Permyjaya, dua di Riam dan dua di Vista Perdana.

“Dengan adanya kemudahan ini, penduduk kawasan perumahan akan dapat mengambil peluang untuk melakukan senaman dan rekreasi bersama keluarga dan mampu membudayakan gaya hidup sihat serta bebas daripada penyakit,” tambahnya. 

Hadir sama Pegawai Hortikult Majlis Bandaraya Miri (MBM) Chee Kie Chang. -EDISI UKAS

Share

add comment