Bekalan Dan Harga Ayam Di Sarawak Sepanjang Musim Perayaan Hari Raya Puasa Dan Gawai Dayak Terkawal

KHAMIS, 15 APRIL 2021

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sarawak mengambil maklum terhadap kenyataan yang tular di media sosial berkenaan kenaikan harga ayam di pasaran. 

Justeru, KPDNHEP Negeri Sarawak dalam kenyataan media pada Khamis berkata, pihaknya telah mengambil maklum dan beberapa tindakan telah diambil untuk menanganinya 

Katanya, 76 anggota pegawai penguat kuasa seluruh negeri Sarawak yang merangkumi sembilan cawangan KPDNHEP di seluruh negeri Sarawak telah berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk terus membuat pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan bekalan dan harga barangan keperluan adalah stabil dan mencukupi bagi musim perayaan ini. 

“Harga jualan ayam bersih standard (1kg) bagi tempoh Januari hingga April 2021 ialah diantara RM7.90/ kg hingga RM8.80/ kg. 

“Harga tersebut adalah pada aras normal dan tidak menunjukkan sebarang kenaikan luar biasa,” katanya.

Di Sarawak, terdapat tiga ladang utama iaitu K&L Farming Sdn. Bhd, QL Livestock Farming Sdn.Bhd dan Central Coldstorage Kuching Sdn.Bhd dengan purata pengeluaran sebanyak 57,360 ekor/sehari dan purata pengeluaran sebulan adalah sebanyak 1,721,015 ekor/sebulan adalah mencukupi untuk menampung keperluan seluruh rakyat di negeri Sarawak. 

Terdahulu, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Negeri Sarawak Mogan a/l Arumugam telah melakukan lawatan ke Medan Niaga Satok dan beberapa buah pasaraya di sekitar Petra Jaya, Kuching seperti Pasaraya Mydin, Emart Matang dan Everrise Matang bagi meninjau keadaan semasa bekalan dan harga ayam di pasaran. 

Hasil pemeriksaan mendapati bekalan ayam adalah stabil, mencukupi dan mudah diperolehi dengan harga sekitar RM7.89/ kg sehingga RM8.80/ kg. 

Ujar kenyataan itu lagi, KPDNHEP Negeri Sarawak turut melaksanakan penguatkuasaan ‘Ops Pantau’ bagi memastikan pengguna berada dalam keadaan yang selesa serta mudah untuk mendapatkan bekalan barang-barang makanan dan keperluan harian dengan harga yang berpatutan semasa Ramadhan dan Aidilfitri.

Antara perkara yang diberikan tumpuan dalam ‘Ops Pantau’ ini ialah kedudukan bekalan barang-barang, harga, jualan murah, penjualan barang tiruan, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dan Pematuhan SOP PKP di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). 

Sehingga 14 April 2021 sebanyak 106 Notis Pengesahan Maklumat Barangan/Perkhidmatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah dikeluarkan pada pelaksanaan pemeriksaan OPS PASAR 2021 iaitu pemantauan aktiviti kenaikan harga barangan keperluan yang di jual di pasar-pasar awam dan pasaraya. 

Untuk rekod, bermula 1 Januari sehingga 14 April 2021, KPDNHEP Negeri Sarawak telah melaksanakan pemeriksaan premis sebanyak 17,394 premis perniagaan pelbagai peringkat seperti ladang, pengilang, pengimport, pengeluar, pemborong dan peruncit meliputi kawasan bandar dan luar bandar.

Sepanjang tempoh ini, KPDNHEP Negeri Sarawak telah menghasilkan keseluruhan kes sebanyak 379 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM648,155.90 dan jumlah kompaun sebanyak RM35,150. 

Sementara itu, bagi peniaga yang menaikkan harga yang tidak munasabah dan melebihi paras margin keuntungan, tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 14, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, individu boleh didenda sehingga RM100,000.00 atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya dan syarikat atau pertubuhan perbadanan boleh didenda sehingga RM500,000.

Sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian hotline kementerian di 1-800-886-800 atau Portal e-aduan kpdnhep di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau di talian Whatsapp 019-2794317 atau hadir sendiri di mana-mana pejabat Kementerian yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, bilik gerakan KPDNHEP Negeri Sarawak dibuka dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari dan boleh  juga menghubungi bilik gerakan di bahagian untuk menyalurkan apa-apa aduan seperti PPDNHEP Kuching 082-466052, PPDNHEP Sri Aman 083-323836, PPDNHEP Sarikei 084-657751, PPDNHEP Sibu 084-329202, PPDNHEP Kapit 084-799678, PPDNHEP Bintulu 086-332176, PPDNHEP Miri 085-217414, PPDNHEP Limbang 085-872726, PPDNHEP Mukah 084-872726 dan PPDNHEP Lawas 085-283650. -EDISI UKAS

Share

add comment