JPBB Bintulu Usul PdPR Hanya Dilaksanakan Di Sekolah Dalam Kawasan Bandar Bintulu

KHAMIS, 15 APRIL 2021

BINTULU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBBB) Bintulu mengusulkan sekolah-sekolah di kawasan bandar di Bahagian Bintulu melaksanakan hanya pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). 

Menteri Bertanggungjawab JPBB Bintulu Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom dalam kenyataan medianya pada Khamis berkata, ini susulan peningkatan secara mendadak kes-kes positif COVID-19 membabitkan sekolah-sekolah di kawasan bandar Bintulu. 

“Bagi sekolah-sekolah di luar bandar Bintulu pula dibolehkan untuk menjalani pembelajaran secara bersemuka memandangkan tiada kes positif COVID-19 dilaporkan dan sekolah-sekolah di luar bandar ini juga tidak mempunyai capaian internet. 

“Berdasarkan laporan Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu, kes-kes positif COVID-19 telah dikesan membabitkan 17 buah sekolah dalam bandar Bintulu,” katanya. 

Dato Sri Dr. Stephen Rundi yang juga Menteri Utiliti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena mengingatkan penduduk di Bahagian Bintulu agar memberikan kerjasama penuh dan patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelak penularan wabak COVID-19. 

“Saya ingin mengingatkan orang ramai untuk memberikan kerjasama penuh dan sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

“Orang ramai juga diingatkan untuk tidak menular berita yang tidak sahih (palsu) bagi mengelakkan suasana panik dan kekeliruan,” ujarnya. -EDISI UKAS

Share

add comment