Kerajaan Persekutuan Dan Kerajaan Sarawak Punyai Hala Tuju Sama Bantu Rakyat Sebaik Mungkin

KHAMIS, 15 APRIL 2021

LAWAS: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak mempunyai hala tuju yang sama untuk membantu rakyat sebaik mungkin. 

Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Dato Henry Sum Agong berkata, ini dapat dilihat menerusi peruntukan pembangunan di Sarawak dan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk terus memajukan negeri ini dengan kemudahan dan infrastruktur terbaik. 

“Keprihatinan Kerajaan Persekutuan yang ditadbir Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Sarawak yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang mempunyai hala tuju yang sama untuk membantu rakyat dengan sebaik mungkin.

“Misalnya di Daerah Lawas, terdapat projek kecil dan besar terus dilaksanakan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan beberapa projek pembangunan lain seperti jalan raya, dan pembangunan infrastruktur,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Pemimpin Bersama Rakyat Kerja Gotong-Royong dan Berbuka Puasa di Dewan Serbaguna, Kampung Pangi pada Rabu. 

Dato Henry yang juga Ahli Parlimen Lawas turut memberitahu beliau dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan akan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri bagi membincangkan pembinaan jalan yang menghubungkan Lawas, Limbang dan Miri yang menjadi jalan perhubungan utama di Zon Utara ini. 

Pada majlis itu, selain gotong-royong dan berbuka Puasa, turut diadakan penyampaian sumbangan kepada kanak-kanak, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan penyerahan cek geran kerajaan kepada pertubuhan, persatuan dan kelab yang ada di Daerah Lawas. 

Hadir sama Penghulu Liaw Soon Teck, Ketua Kaum Marhassan Pangkat dan Pergerakan Pemuda PBB DUN Bakelalan -EDISI UKAS 

Share

add comment