Ketua Menteri Terima Tiga Kunjungan Hormat

KHAMIS, 15 APRIL 2021

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima tiga kunjungan hormat di pejabat beliau di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Khamis.

Kunjungan pertama adalah daripada Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Dato’ Sri Dr Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed.

Bercakap kepada media selepas itu, Dato’ Sri Dr Mohammed berkata, kerajaan negeri telah bersetuju mencarum bagi seramai 3,004 penjawat awam yang bertaraf kontrak di bawah skim perlindungan PERKESO.

“Di samping itu juga, kerajaan negeri telah bersetuju untuk mendaftar dan mencarum untuk semua ketua masyarakat di negeri Sarawak.

“RM4.16 juta adalah untuk caruman pekerja-pekerja kontrak manakala hampir setengah juta untuk ketua- ketua masyarakat,”katanya.

Tambah beliau, melalui pakej-pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan pusat berikutan pandemik COVID-19, pihaknya telah menyalurkan sebanyak RM1.296 bilion kepada rakyat Sarawak dalam bentuk gaji, insentif pengambilan pekerja dan padanan caruman untuk Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

Sejurus selepas itu, Ketua Menteri menyaksikan penyerahan 10 projektor LED dan skrin kepada Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) SMK Green Road yang disampaikan oleh Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).

Menerusi penyerahan itu, Ketua Menteri berharap pelajar di Sarawak mempelajari lebih mendalam mengenai Sains, Teknologi, Kejuruteraan Dan Matematik (STEM).

“Saya berharap agar anak-anak murid kita dapat belajar dengan lebih mendalam lagi berkenaan dengan STEM ini,” kata beliau.

Manakala, kunjungan yang ketiga pula daripada pihak Tabung Haji yang diketuai oleh Pengarah Wilayah Sabah Dan Sarawak, Datin Nurlaila Saib.

Ketika ditemubual media, Datin Nurlaila menerangkan mengenai perkembangan terkini struktur pengurusan Tabung Haji khususnya pengurusan di Sabah dan Sarawak.

“Jadi dengan adanya penstrukturan baru ni, harapan Lembaga Tabung Haji khususnya wilayah Sabah dan Sarawak adalah untuk memperkukuhkan lagi pengurusan yang lebih efisien dan meningkatkan lagi prestasi sekaligus meningkatkan ekonomi umat Islam di negeri Sarawak,” jelasnya. -EDISI UKAS

Share

add comment