Kreatif Laksana Program Semasa Tempoh PKPD

KHAMIS, 15 APRIL 2021

MERADONG: Penerima Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di daerah Meradong disarankan agar lebih kreatif dalam merangka aktiviti bersesuaian dengan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing turut mengingatkan semua penerima geran untuk memanfaatkan geran sebaik-baiknya bagi melaksanakan program berfaedah untuk masyarakat.

Bercakap semasa majlis ringkas penyerahan geran bertempat di Pusat Khidmat DUN Meradong pada Rabu, Datuk Ding berkata pemberian geran membuktikan Kerajaan Negeri tidak pernah mengabaikan rakyat sebaliknya sentiasa melakukan pelbagai pendekatan bagi memastikan mereka dapat melaksanakan program demi kepentingan bersama.

“Ini secara tidak langsung menyumbang kepada usaha pemerkasaan semangat harmoni dan perpaduan yang wujud sejak sekian lama dalam kalangan rakyat Sarawak,” katanya.

Sebanyak tiga persatuan dan dua sekolah di Meradong menerima geran tersebut yang berjumlah keseluruhan RM12,680 dengan senarai penerima ialah Pusat Pemilihan Dalam Komuniti (PDK) Meradong, SMK Tong Hua, SJK (c) Tong Hua, Love And Rescue Animal Club dan Persatuan Foochow Meradong Warga Emas.

Sementara itu, Datuk Ding turut meluangkan masa melawat tapak projek menaiktaraf Tebingan Sungai Bintangor.

Menurutnya, apabila siap kelak, tebingan tersebut akan membantu menyelesaikan masalah banjir di tapak letak kenderaan dan menyediakan ruang yang selesa kepada para peniaga kecil-kecilan untuk menjalankan aktiviti perniagaan pada hujung minggu.

Selain itu katanya, pondok yang turut dinaiktaraf di Tebingan Sungai Bintangor akan memberi keselesaan kepada para pemancing. – EDISI UKAS

Share

add comment