Polis Siasat Kes Cubaan Menipu Tawar Perkhidmatan ‘enterSarawak’ Kemasukan Ke Sarawak

KHAMIS, 15 APRIL 2021

KUCHING: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kontijen Sarawak kini sedang menyiasat kes cubaan menipu yang menawarkan perkhidmatan mengisi borang ‘enter sarawak’ bagi sesiapa yang ingin masuk ke negeri Sarawak dengan bayaran RM130 bagi seorang pemohon. 

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Aidi Ismail dalam kenyataan media pada Khamis berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis berhubung penipuan tersebut.

“Pada 12 April 2021, polis telah menerima satu laporan berkaitan posting (muat naik status) melalui Facebook oleh seorang saspek yang menawarkan perkhidmatan mengisi borang ‘enter sarawak’ bagi sesiapa yang ingin masuk ke negeri Sarawak dengan bayaran RM 130 bagi seorang pemohon. 

“Saspek telah mendakwa dirinya bekerja dengan pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan boleh meluluskan permohonan tersebut. 

“Walau bagaimanapun semakan dengan JPBN Sarawak mendapati mereka tidak pernah melantik atau memberi kebenaran kepada mana-mana individu luar untuk bertindak bagi pihak JPBN Sarawak dalam sebarang urusan,” katanya. 

Jelas Dato Aidi, polis kini sedang menjalankan siasatan kes ini di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan iaitu cubaan menipu yang boleh dihukum penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih 10 tahun serta boleh dikenakan sebat dan denda. 

Sehubungan itu, orang ramai dingatkan untuk membuat permohonan ‘enter Sarawak’ melalui saluran yang betul dan jika ada sebarang kemusykilan boleh menghubungi Bilik Operasi JPBN Sarawak di talian 082-443991 untuk mendapatkan sebarang maklumat berkaitan tatacara kemasukan ke Sarawak. -EDISI UKAS

Share

add comment