Lagi 295 Orang Pelatih PULAPOL Kuching Positif COVID-19

JUMAAT, 16 APRIL 2021

KUCHING: Kes positif COVID-19 dalam kalangan pelatih di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching semakin meningkat dengan seramai 295 lagi pelatih disahkan positif COVID-19.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, jumlah kes positif terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan pelatih di PULAPOL Kuching yang dijangkiti kini seramai 415 orang.

Menurut beliau, susulan peningkatan tersebut, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) telah dikuatkuasakan di pusat berkenaan mulai hari ini (Jumaat) sehingga 29 April depan.

“Semua pelatih yang positif kini dirawat di PULAPOL Kuching dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) sudah menubuhkan sebuah klinik kesihatan 24 jam serta Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di pusat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas melawat Bilik Operasi PKPD di PULAPOL Kuching, di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian.

Dalam pada itu, beliau turut menambah, seramai 20 tenaga pengajar dan ahli keluarga mereka turut didapati positif COVID-19. -EDISI UKAS

Share

add comment