65,000 Ekor Anak Udang Galah Dilepaskan Di Sungai Lubok Boyak

JUMAAT, 16 APRIL 2021

KUCHING: Sebanyak 65,000 ekor anak udang galah telah dilepaskan di Sungai Lubok Boyak, Kampung Paya Mebi.

Kesemua anak udang daripada Jabatan Pertanian Daerah Kuching itu telah dilepaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang.

Menurut beliau, anak udang galah tersebut akan mengambil masa untuk membesar dan hanya 10 peratus dijangka hidup dengan sempurna.

“Saya berharap Ahli Jawatankuasa Persatuan Nelayan Darat Lubok Boyak dapat menjaga anak udang galah ini dengan baik.

“Ini adalah satu projek jangka panjang kerana anak udang galah mengambil masa untuk membesar dan membiak dengan lebih banyak pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Melepaskan Anak Udang Galah di Sungai Lubok Boyak, Kampung Paya Mebi pada Khamis.

Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) itu menambah, penduduk kampung akan menjana pendapatan daripada program tersebut sekaligus meningkatkan ekonomi masyarakat setempat. –EDISI UKAS