Datuk Patinggi Abang Zohari Terima Kunjungan Hormat Menteri Perusahaan, Perladangan Dan Komoditi

JUMAAT, 16 APRIL 2021

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat daripada Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Malaysia, Dato Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Jumaat.

Dato Dr. Mohd Khairuddin ketika ditemui berkata, kunjungan hormat tersebut bertujuan bagi membincangkan isu untuk memperkasakan sektor perladangan dan komoditi di negeri ini.

Jelas beliau, antara yang dibincangkan adalah berkaitan dengan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang sedang digerakkan.

“Kita harap lebih ramai di kalangan pekebun kecil sawit terlibat dengan MSPO.

“Sarawak telah berjaya mencapai 56 peratus berbaki lagi 46 peratus daripada pekebun kecil sawit yang belum di’MSPO’kan dan kita sangat perlukan bantuan kerajaan Sarawak untuk kita bersama berkempen dan menyelesaikan isu berbangkit melibatkan tanah adat dan sebagainya.

“Menerusi kunjungan hormat ini kita akan perkasakan lagi dan hasrat kita untuk mencapai 100 peratus MSPO di peringkat pekebun kecil sawit ini akan tercapai dalam masa terdekat,” katanya.

Tambah beliau, turut dibincangkan bersama Ketua Menteri adalah untuk menyemarakkan industri lada di Sarawak.

“Kita bincang juga untuk menyemarakkan lagi industri lada Sarawak ataupun lada hitam keluaran Sarawak kerana lada hitam ini adalah mercu tanda  bagi negeri Sarawak dan juga satu prospek yang besar bagi negara dan bukan sahaja Sarawak kita membesarkan  saiz perladangan bahkan di Semenanjung,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya beliau turut memaklumkan kepada Ketua Menteri mengenai perancangan kementeriannya untuk menyediakan ladang komersial bagi tanaman buluh di Bintulu.

“Kita bincang juga isu berkaitan dengan perladangan hutan antaranya tentang cadangan untuk menyediakan ladang komersial bagi tanaman buluh di Bintulu.

“Ada satu permohonan daripada syarikat untuk menanam buluh secara komersial dengan keluasan yang besar hingga 5000 hektar,” jelasnya lagi.

Ujarnya, beliau turut memaklumkan kepada Ketua Menteri mengenai kementeriannya yang mahu memperbesarkan lagi penglibatan usahawan tempatan dengan industri koko. -EDISI UKAS

Share

add comment