Kerja-Kerja Membaik Pulih Pembentung Jalan Kampung Suba Bandar Bermula

JUMAAT, 16 APRIL 2021

BAU: Kerja-kerja membaik pulih pembentung jalan di Jalan Bau-Lundu, Kampung Suba Bandar bermula pada Jumaat.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kuching sebelum ini telah mengeluarkan notis pemberitahuan berhubung perkara itu untuk makluman pada 6 April lalu.

Sehubungan itu, orang awam adalah diminta agar mematuhi papan tanda yang disediakan di sekitar kawasan terlibat dan mengikut arahan penjaga bendera untuk melancarkan pergerakan trafik.

Pengguna jalan tersebut juga diminta menggunakan laluan alternatif dan dinasihati merancang perjalanan di kawasan-kawasan terlibat.

JKR Daerah Bau dalam pada itu akan memaklumkan sekiranya terdapat sebarang perubahan pada tarikh, waktu atau kawasan yang terlibat dengan kerja kerja itu.

Sebarang aduan atau pertanyaan berkaitan dengan aliran trafik ini boleh menghubungi di talian 082-763 890 pada waktu pejabat. -EDISI UKAS