ADUN Kedup Tinjau Projek Sedang Dijalankan Di Kampung Mantung Mubok

SABTU, 17 APRIL 2021

KEDUP: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Martin Ben meninjau beberapa buah projek yang sedang dijalankan di Kampung Manting Mubok pada Jumaat.

Antara projek yang dilawati ialah projek membaikpulih Gereja St Vincent yang mendapat peruntukan dari Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) tahun 2020 berjumlah RM50,000 untuk menggantikan bumbung dan struktur gereja tersebut.

Turut dilawati adalah projek untuk membina jambatan menyeberangi Sungai Kedup ke Kampung Mantung Berawan/Mantung Mubok.

Projek itu merupakan projek Transformasi Luar Bandar (RTP) pada tahun 2019 yang tertangguh disebabkan pihak kontraktor yang terpilih terpaksa menyerah balik kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana kos tidak cukup dengan mengambil kira kos ‘double handling’ yang terpaksa ditanggung seperti membawa bahan binaan, jentera, membuat jalan dan lain-lain lagi.

Pihak JKR Bahagian Serian telah menilai semula kos dan peruntukan tambahan RTP telah diluluskan sebanyak RM400,000 menjadikan kos keseluruhan jambatan adalah RM1.3 juta.

Martin turut melakukan tinjauan ke padang bolasepak bagi melihat pembinaan astaka yang dilakukan oleh para belia kampung secara bergotong-royong.

Pembinaan tersebut menelan kos sebanyak RM10,000 dan dijangka siap pada Jun 2021.

Sementara itu, pada perjumpaan dan sesi dialog bersama JKKK, ADUN Kedup itu telah menjelaskan isu berkaitan Bantuan Pertanian (AFF), masalah telekomunikasi dan Projek Bekalan Air.

Beliau turut mengumum untuk memberikan peruntukan kepada JKKK, Biro Wanita dan Persatuan Belia Kampung Mantung Mubok bagi mengurus aktiviti masing-masing berjumlah RM5,000.-EDISI UKAS

Share

add comment