Dua PPRMS Tanjong Datu Siap Di Kampung Bruan Sampadi

SABTU, 17 APRIL 2021

LUNDU: Dua lagi Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) Tanjong Datu siap di Kampung Bruan Sampadi Lundu.

Projek tersebut melibatkan kediaman Adot Tajil dan Nilam Bagong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu berkata, ia merupakan komitmen kerajaan negeri untuk membantu golongan kurang berkemampuan bagi memiliki kediaman yang selesa khususnya untuk golongan ibu tunggal, mualaf dan asnaf.

“Ianya juga merupakan inisiatif kerajaan Sarawak untuk memastikan kebajikan rakyat miskin sentiasa dipelihara,” katanya.

Dalam pada itu, penerima pertama iaitu Nilam, ketika ditemui menzahirkan penghargaan kepada ADUN Tanjong Datu dan kerajaan negeri atas bantuan bagi membaik pulih dinding, lantai tingkap dan pintu dengan kos sebanyak RM14,870.

“Saya sangat terharu dan berterima kasih kepada ADUN Tanjong Datu dan kerajaan Sarawak kerana tidak pernah mengimpikan rumah saya akan dibaik pulih dan dapat rumah batu untuk tinggal,” katanya.

Bagi penerima kedua pula iaitu Adot, beliau menerima bantuan bagi membaik pulih bumbung, dinding, lantai dan tingkap dengan kos sebanyak RM12,068.

Hadir sama, Ketua Pergerakan Wanita PBB Tanjong Datu, Kaunselor Fatimah Abdullah dan Ketua Pergerakan Pemuda PBB Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan.-EDISI UKAS

Share

add comment