Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sarikei, Pejabat Kesihatan Bahagian Laksana ACD Selama 4 Hari

SABTU, 17 APRIL 2021

SARIKEI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sarikei bersama Pejabat Kesihatan Bahagian telah melaksanakan aktiviti Pengesanan Kes Secara Aktif (ACD) berikutan penambahan kes baharu COVID-19 di Taman Susur Jambu, Sarikei yang agak tinggi.

Langkah ini dilakukan bagi tujuan pengawalan dan pencegahan penularan berterusan serta sebagai survelan kepada komuniti di mana ujian PCR akan diambil mengikut zon yang telah ditentukan.

Kawasan Taman Susur Jambu telah dibahagiakan kepada empat zon bagi memudahkan proses ujian calitan dijalankan iaitu Zon A pada 17 April 2021, Zon B pada 18 April 2021, Zon C pada 19 April 2021 dan Zon D pada 20 April 2021.

Zon A melibatkan keseluruhan Jalan Jambu Utara dan Jalan Jambu Barat dari Lorong Jambu Barat 1 dan Jambu Utara 1A bermula jam 8 pagi, Lorong Jambu 1C dan 1E pada jam 9 pagi, Lorong Jambu Utara 1F dan1G pada jam 10 pagi, Lorong 1 dan 1A pada jam 11 pagi, Lorong 2 dan 2A pada jam 2 petang dan akhirnya lorong 2B, 2C, 2D pada jam 3 petang.

Pihak KKM menjangkakan antara 1000 hingga 1500 orang dari Zon A akan datang untuk ujian saringan pada hari pertama ini dari keseluruhan jumlah penduduk kawasan Taman Susur Jambu yang melebihi 4000 orang.

Semua penduduk diminta untuk memberikan kerjasama dan datang untuk membuat ujian saringan COVID-19 pada tarikh dan masa yang telah ditetapkan serta perlu membawa kad pengenalan, memakai pelitup muka dan mematuhi penjarakan sosial dan arahan yang diberikan.

Arahan kuarantin hanya akan diberikan kepada individu yang telah dikenalpasti berisiko tinggi oleh pihak KKM di mana mereka akan terus ditempatkan di pusat kuarantin yang sedia ada.

Ujian saringan dijalankan dalam keadaan terkawal serta berjalan lancar yang dikendalikan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei, Hospital Sarikei dan turut dibantu oleh pihak PDRM, APM, Majlis Daerah Sarikei (MDS) dan Rela. – EDISI UKAS

Share

add comment