Peniaga Di Meradong Diminta Bersabar, Penutupan Perniagaan Untuk Keselamatan Semua

SABTU, 17 APRIL 2021

MERADONG: Peniaga di Meradong diminta untuk bersabar berikutan arahan penutupan perniagaan susulan peningkatan kes COVID-19 di daerah itu sejak kebelakangan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata arahan penutupan perniagaan terpaksa dikeluarkan sebagai langkah untuk mengekang penularan wabak berkenaan dari semakin serius.

“Saya difahamkan ada beberapa tempat peniaga sudah ditutup, ini satu cara kita nak jaga kesihatan kita.

“Harap kita semua faham, ini bukan mahu susahkan peniaga tapi kerana sekarang COVID-19 semakin serius.

“Harap kalau beberapa hari angka turun kita boleh pertimbangkan semula pembukaan semula perniagaan di pasar Bintangor sini,” katanya kepada Unit Komunikasi Awam Sarawak pada Jumaat.

Datuk Ding turut mengingatkan orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan tidak keluar rumah jika tiada keperluan.

Majlis Daerah Meradong dan Julau telah mengarahkan penutupan Penjaja Tamu Tebingan Sungai, Bintangor bermula 15 April lepas hingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan.

Selain itu, perkhidmatan secara bawa pulang dibenarkan di premis seliaan Majlis Daerah Meradong iaitu Medan Selera, Kedai Makan dan Minum (Pusat Penjaja Bintangor), Kedai Makan dan Minum (Market 2 Tingkat), Gerai Makanan Islam dan Rumah Asap.

Dine-in tidak dibenarkan bermula 15 April hingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan. – EDISI UKAS

Share

add comment