Program Imunisasi Fasa Dua Bermula Di Sibu, 19 April Ini

SABTU, 17 APRIL 2021

KUCHING: Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 bagi fasa kedua akan bermula pada 19 April 2021 di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak, Dr Chin Zin Hing memberitahu, bagi negeri ini, fasa itu akan dimulakan di Bahagian Sibu.

“Bagi Sarawak, fasa ini akan dimulakan di Sibu pada 19 April dan diikuti seterusnya oleh Bahagian Kuching, Serian, Sri Aman, Betong, Kapit, Mukah dan Miri pada 23 April 2021.

“Manakala Bahagian Samarahan, Bintulu dan Limbang pada 24 April 2021 dan Bahagian Sarikei pada 30 April 2021,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 di sini pada Sabtu.

Dr Chin menambah, sebanyak 13 pusat pemberian vaksin akan beroperasi di seluruh bahagian di Sarawak bagi tempoh 19 April sehingga 30 April.

Jelas beliau, fasa kedua itu menyasarkan kepada golongan berisiko tinggi iaitu mereka yang mempunyai penyakit kronik dan warga emas yang berumur lebih daripada 60 tahun.

Ujarnya, seramai 929,435 disasarkan untuk menerima vaksin bagi fasa itu.

“Pada 19 April di Sibu, seramai 924 orang penerima dijangka hadir untuk menerima vaksin di Stadium Tertutup Sibu,” katanya.

Pengarah JKN Sarawak itu turut menjelaskan lagi, bagi fasa dua, penerima akan diberi temujanji melalui aplikasi MySejahtera dalam masa dua minggu sebelum tarikh vaksinasi dan penerima perlu mengesahkan kesanggupan mereka untuk menerima vaksin tersebut.

Katanya, mereka yang telah diberi temujanji dan bersedia untuk menerima suntikan vaksin diminta untuk hadir ditempat yang telah ditetapkan di dalam aplikasi tersebut.-EDISI UKAS

Share

add comment