Projek Pengawalan Hakisan Pantai Akan Selesaikan Masalah Banjir Di Kampung Batu 1, Kuala Baram

SABTU, 17 APRIL 2021

MIRI: Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Kampung Batu 1, Kuala Baram Miri merupakan satu projek Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu dan dijangka siap pada tahun ini.

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, projek tersebut di bawah Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK11) dengan jumlah peruntukan RM17,388,000.

“Kos projek ini merangkumi yuran kajian pemodelan hidraulik, kajian ombak, reka bentuk menyeruluh dan kerja-kerja penyeliaan projek.

“Skop projek merangkumi pembinaan benteng pemecah ombak  sepanjang 200 meter di luar pesisir pantai, lima groin dan tanjakan konkrit yang mampu menampung lebih 100 bot untuk memudahkan nelayan keluar masuk untuk turun laut,” katanya. 

Beliau berkata demkian ketika ditemui selepas turun padang dan meninjau Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Kampung Batu 1, Kuala Baram Miri pada Jumaat. 

Ujar Datuk Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin lagi, dengan adanya struktur ini, ianya akan berkesan dalam mengawal hakisan dan menahan ombak besar serta dapat mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku di kawasan ini. 

Untuk rekod, perkampungan nelayan Kampung Batu 1, Kuala Baram ini adalah antara kawasan paling teruk banjir pada 20 Disember tahun lepas akibat fenomena air pasang tinggi serta hujan lebat yang berterusan.

Dalam perkembangan sama DatuK Lee turut meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memasang tanda isyarat di sekitar benteng agar dapat memberi amaran kepada bot-bot nelayan yang lalu lalang sekaligus menjamin keselamatan para nelayan.

Hadir sama Pembantu Laut Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) Miri Toni Douglas. -EDISI UKAS

Share

add comment