KPDNHEP Konsisten Pantau Harga Barangan

AHAD, 18 APRIL 2021

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa memandang serius berhubung kenaikan harga barang makanan dan keperluan harian.

Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata kementeriannya aktif melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga barangan.

“KPDNHEP sentiasa sensitif dan mengikuti setiap perkembangan berdasarkan pemeriksaan dan pemantauan di lapangan yang dilakukan oleh 2,266 pegawai penguatkuasa dan lebih 1,000 pegawai pemantau harga setiap hari.

“Jika situasi memerlukan, KPDNHEP akan mengambil langkah segera bagi mengekang isu dari menggugat pasaran yang sihat dan kepentingan pengguna.

“Ini telah kementerian lakukan menerusi langkah-langkah kawalan harga terhadap barang-barang tertentu seperti Petrol RON95, Diesel, Gula dan sebagainya mengikut keadaan semasa,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Ahli Parlimen Kapit itu menambah, manakala bagi setiap musim perayaan utama, KPDNHEP melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan atas jangkaan meningkatnya permintaan dan pada masa sama mengekang kewujudan peniaga ‘cendawan’.

Selain itu beliau memberitahu, KPDNHEP juga telah melaksanakan OPS SURI,OPS PASAR,OPS PANTAU dan terkini, OPS CATUT 8.0 (Ayam) yang telah bermula pada 15 April 2021.-EDISI UKAS

Share

add comment