Langkah Pencegahan Dan Kawalan Penularan COVID-19 Perlukan Kerjasama Semua Pihak

AHAD, 18 APRIL 2021

KUCHING: Kerjasama masyarakat sangat diperlukan untuk memastikan usaha mencegah penularan wabak pandemik COVID-19 dapat dilaksanakan dengan baik. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, kerjasama ini perlu dilaksanakan dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mempunyai pemahaman serta kesedaran yang betul dan tepat. 

“Kita mesti memberikan perhatian yang serius dalam penularan wabak COVID-19 yang sehingga kini semakin meningkat di Sarawak. 

“Untuk memastikan ianya dapat dilaksanakan, kerjasama semua pihak merupakan ‘senjata’ terkuat dan paling berkesan untuk melawan COVID-19. 

“Ini kerana masalah penularan wabak COVID-19 ini bukan sahaja mempengaruhi kesihatan tetapi juga ekonomi, politik dan sosial,” katanya ketika mengulas mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Mesra Bako pada Ahad. 

Beliau menambah, kehidupan norma baharu seperti pemakaian pelitup muka, kebersihan tangan, pejarakan fizikal, kuarantin dan vaksinasi merupakan langkah asas SOP yang perlu dipatuhi rakyat. 

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media pada Sabtu telah mengumumkan PKPD dilaksanakan di Taman Mesra Bako bermula 18 April hingga 1 Mei 2021. 

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Pesisir Kuching, Samarahan dan Lundu menambah pengawalan pergerakan dan keupayaan ujian pengesanan COVID-19 juga dapat mengurangkan kes positif COVID-19 dalam kategori kontak rapat. 

“Dengan kawalan pergerakan yang ketat, peningkatan keupayaan ujian COVID-19 bagi mengesan lebih banyak pesakit positif dalam komuniti juga akan mengurangkan kes sekunder. 

“Di samping itu, penyebaran maklumat mengenai perlindungan dan pencegahan penyakit juga harus dilakukan secara konsisten melalui berbagai platform media seperti elektronik, media sosial, pengumuman umum, poster, brosur, dan papan iklan. 

“Selain itu, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu diberikan kuasa dan keupayaan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu ditingkatkan bagi memastikan penularan CIVID-19 ditangani secara bersama,” tambahnya. 

Justeru, bersama kita mencegah dan mengawal jangkitan virus COVID-19 daripada terus menular ke dalam masyarakat. -EDISI UKAS

Share

add comment