Op Benteng: TDM Usir Keluar 38 PATI Dipercayai Cuba Masuk Ke Sarawak

AHAD, 18 APRIL 2021

KUCHING: Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) telah mengusir keluar seramai 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai cuba masuk ke Sarawak menerusi lorong ‘tikus’ dalam 10 kes bermula 8 April 2021.

Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen dalam satu kenyataan media pada Ahad memberitahu, dalam kes terbaharu, seramai lapan individu warga Indonesia ditahan ketika berjalan kaki menuju ke ke arah sempadan kira-kira 300 meter dari Malaysia.

Kesemua tujuh lelaki dan seorang wanita itu ditahan pada pukul 5 petang oleh sepasukan anggota tentera yang berkawal di Sektor Lubok Antu.

Manakala kes yang mencatat angka tertinggi adalah kes pengusiran di Sektor Tebedu pada 12 April 2021 pada pukul 7.00 malam apabila 11 PATI termasuk seorang bayi perempuan berusia 9 bulan ditahan dan diusir.

Pelbagai alasan dan taktik digunakan mereka untuk menyelinap masuk ke Malaysia berkemungkinan atas desakan hidup impak daripada pandemik COVID-19.

Meskipun dalam menjalani ibadah puasa, anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) sentiasa komited menggalas tanggungjawab meneruskan inisiatif Op Benteng dalam mengekang aktiviti PATI menyelinap masuk ke Sarawak serta kegiatan jenayah rentas sempadan.

TDM sentiasa bersedia dan meningkatkan lagi kesiagaan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan jenayah dan membolosi sempadan negara. -EDISI UKAS

Share

add comment