Polis Laksana 4 Lagi Sekatan Jalan Raya Di Bahagian Bintulu

AHAD, 18 APRIL 2021

BINTULU: Berikutan jumlah kes COVID-19 yang semakin meningkat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu telah menambah empat lagi sekatan jalan raya di Bahagian Bintulu.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, empat sekatan jalan raya itu ialah Jalan Sebiew, Jalan Tun Hussein Onn, Jalan Persimpangan Stadium Muhibbah dan Jalan Tanjung Batu.

“Sekatan jalan raya itu akan dikuatkuasakan sehingga 27 April 2021 bagi menghadkan pergerakan penduduk di sekitar kawasan bandar,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sekatan jalan raya di Bahagian Bintulu dalam sidang media JPBB Bintulu di Pejabat Residen Bahagian Bintulu pada Sabtu. 

Superintenden Zulkipli turut menjelaskan, sekatan jalan raya ini tidak menyekat ibu bapa daripada menghantar atau mengambil anak-anak mereka di sekolah atau menghadiri apa-apa urusan yang penting.

“Bagaimanapun, sekiranya ianya melibatkan aktiviti seperti membeli-belah dan riadah tidak dibenarkan. 

“Jika ada premis berhampiran, contohnya di Kidurong, yang menjual barangan keperluan, maka tidak perlu penduduk pergi ke kawasan bandar,” jelasnya. 

Dalam arahan yang dikuatkuasakan serta merta untuk tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Bahagian Bintulu, pergerakkan rakyat tidak boleh melebihi 10 km dari kediaman masing-masing kecuali kes kecemasan dan di dalam satu kenderaan hanya dibenarkan dua orang sahaja.

Katanya, polis juga memantau kawasan-kawasan di bandar bagi memastikan semua Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi oleh penduduk di kawasan Bintulu. 

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu Jack Aman Luat, Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr. Melvin Chung Hsien Liang dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Muhammad Yakub Kari. -EDISI UKAS

Share

add comment