Program Imunisasi Kebangsaan Fasa Kedua COVID-19 Bahagian Bintulu Bermula 24 Hingga April 2021

AHAD, 18 APRIL 2021

BINTULU: Program Imunisasi Kebangsaan Fasa Kedua COVID-19 Bahagian Bintulu  akan bermula pada 24 sehingga 26 April ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu Jack Aman Luat berkata, fasa kedua ini melibatkan kumpulan berisiko tinggi dan mereka yang mempunyai komorbiditi.

“Seramai 600 orang dijangka akan menerima dos pertama mereka di Pusat Vaksinasi Dewan Sri Kenyalang Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu. 

“Manakala, 438 orang lagi akan menerima vaksin COVID-19 pada 26 April di tempat yang sama,” katanya dalam satu sidang media di Wisma Residen Bahagian Bintulu pada Sabtu. 

Sehubungan itu, beliau yang juga Residen Bahagian Bintulu menggesa semua individu yang telah mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera untuk sentiasa menyemak status vaksinasi untuk mengetahui temu janji dalam menerima vaksin COVID-19. 

“Bagi mereka yang masih belum mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, mereka masih berbuat demikian melalui aplikasi MySejahtera di telefon pintar mereka, di fasiliti kesihatan tempatan yang terdekat dengan mereka atau di pejabat daerah yang terdekat.

“Setakat ini JPBB Bintulu telah merekodkan sejumlah 113,127 orang telah mendaftar dengan MySejahtera dan 64,736 orang  lagi mendaftar secara manual,” ujarnya. -EDISI UKAS

Share
0