Tindakan Tegas Diambil Ke Atas Individu Langgar SOP Di Zon Kritikal Bintulu – Stephen Rundi

AHAD, 18 APRIL 2021

BINTULU: Tindakan lebih tegas akan diambil terhadap individu yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Diperketatkan yang dilaksanakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu terutama di zon kritikal. 

Menteri Bertanggungjawab JPBB Bintulu Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom dalam kenyataan media pada Sabtu berkata, beliau tidak berpuas hati terhadap pematuhan SOP oleh masyarakat di bahagian ini yang dilihat menyukarkan petugas barisan hadapan untuk memutuskan rantaian COVID-19 dan melakukan pemantauan.

“Berdasarkan rekod Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak, peningkatan kes banyak berlaku di tempat kerja dan juga di sekolah. 

“Peningkatan kes amat membimbangkan seluruh masyarakat di Bahagian ini,” katanya. 

Beliau yang juga Menteri Utiliti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena menyeru kepada semua warga Bintulu untuk memberikan kerjasama penuh kepada petugas barisan hadapan dalam mengekang penularan wabak COVID-19 dan terus berada dirumah sekiranya tiada keperluan yang mendesak untuk keluar rumah. 

“Jika keadaan ini berterusan dan semakin teruk maka JPBB Bintulu tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah yang lebih drastik dengan memperketatkan lagi SOP atau PKPB untuk zon-zon yang kritikal di bahagian ini. 

“Sebagai rakyat yang bertanggungjawab kita mesti bekerjasama melawan COVID-19. Kita mesti menang,” ujarnya. -EDISI UKAS

Share
0