254 Petugas Barisan Hadapan Di Serian Terima Suntikan Dos Kedua Vaksin COVID-19

ISNIN, 19 APRIL 2021

SERIAN: Seramai 254 orang petugas barisan hadapan menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19 di Dewan Masyarakat Serian pada Isnin.

Turut hadir menerima suntikan kedua vaksin tersebut ialah Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur (Jepun, Korea Selatan dan Taiwan) merangkap Ahli Parlimen Serian, Dato’ Sri (Dr) Richard Riot Jaem dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus.

Kedua-dua wakil rakyat tersebut menerima suntikan vakisn kedua pada pukul 3.00 petang.

Sementara itu, ketika ditemubual, ADUN Bukit Semuja memohon kepada rakyat khususnya di Serian untuk mendaftar vaksinasi kerana ia adalah tanggungjawab mereka demi kesihatan diri dan keluarga.

“Saya menyeru kepada mereka yang belum mendaftar untuk segera mendaftar samada melalui Aplikasi MySejahtera, Klinik Kesihatan terdekat dan menerusi laman web www.vaksincovid.gov.my,” katanya.

Manakala, Dato’ Sri (Dr) Richard Riot juga senada dengan menyeru masyarakat di kawasan Parlimen Serian untuk mendaftar diri bagi pengambilan vaksin.

“Vaksinasi ini adalah untuk kebaikan sendiri dan untuk kebaikan orang lain, jangan takut atau risau untuk disuntik kerana vaksin ini penting,” jelasnya. -EDISI UKAS

Share

add comment