JPBB Miri Cadang Sesi Persekolahan Ditutup Selama 14 Hari, PdPR Dilaksanakan

ISNIN, 19 APRIL 2021

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri sebulat suara mencadangkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak untuk menutup sementara sesi persekolahan selama 14 hari di Miri. 

Ini susulan 13 peratus daripada 3,253 kes positif COVID-19 di Daerah Miri telah menular di sekolah dan kemudahan perubatan di Hospital Miri serta Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Miri juga hampir mencapai kapasiti penuh.

Perkara ini dimaklumkan Menteri Bertanggungjawab JPBB Miri Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Ahad selepas mengambil kira pandangan dan situasi semasa penularan COVID-19 dari Pejabat Kesihatan Bahagian Miri, Hospital Umum Miri dan Pejabat Pendidikan Bahagian Miri. 

“Sekolah-sekolah di Daerah Miri harus ditutup sementara bagi sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka selama 14 hari.

“Dalam tempoh itu, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan. 

“Bagaimanapun, penutupan sekolah ini akan dikaji selepas 14 hari,” katanya. 

Mesyuarat juga telah dimaklumkan bahawa seorang pengetua sekolah menengah di Miri telah diberikan notis kompaun kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Miri.

Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin turut memberitahu  sekolah-sekolah di Daerah Subis dan Beluru yang mana terletak dalam Zon Merah dan mempunyai kes positif juga dicadangkan ditutup selama 14 hari. 

Keputusan ini telah disampaikan kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak dan telah dimaklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas. 

Beliau berharap Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak akan memberikan pertimbangan yang sewajarnya dan menyetujui permintaan untuk menutup sekolah memandangkan Miri berada di zon merah dan jumlah kes positif yang meningkat baru-baru ini. -EDISI UKAS

Share
0