Semak SMS Notifikasi Tarikh Temu Janji Vaksin COVID-19 Di Aplikasi MySejahtera

ISNIN, 19 APRIL 2021

MIRI: Program Imunisasi COVID-19 Fasa Kedua Bahagian Miri akan bermula pada 23 hingga 29 April 2021 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Eastwood Valley, Miri, Hospital Miri dan Hospital Marudi. 

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan medianya pada Isnin berkata, orang ramai yang sudah mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin COVID-19 diminta sentiasa peka kepada sistem pesanan ringkas (SMS) aplikasi MySejahtera di telefon bimbit masing-masing.

“Ini adalah kerana tarikh temu janji penerimaan vaksin COVID-19 akan disalurkan di aplikasi tersebut.

“Satu SMS daripada COVID-19 Immunistion Task Force (CITF) akan dihantar ke nombor telefon bimbit yang didaftarkan dalam aplikasi MySejahtera bagi memberikan peringatan untuk mengesahkan temujanji penerimaan vaksin COVID-19. 

“Pengesahan temu janji perlu dilakukan dalam aplikasi MySejahtera dan hendaklah dilakukan dalam tempoh 48 jam dari tarikh penerimaan SMS untuk mengelakkan temu janji dibatalkan,” katanya. 

Pada fasa kedua ini, sebanyak 3,510 vaksin akan diterima bagi fasa kedua ini yang mensasarkan kepada kumpulan pertama iaitu membabitkan golongan rentan dan warga emas yang berumur 69 tahun hingga 99 tahun berdasarkan senarai yang telah diterima oleh JPBB Miri. 

Jelas Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak lagi, orang ramai yang telah mendaftar (termasuk tanggungan) menerusi aplikasi MySejahtera perlu menyemak aplikasi tersebut untuk mengemaskini maklumat sendiri dan tanggungan. 

Selain itu, bagi tujuan tarikh temu janji pula, satu SMS akan dihantar untuk memberikan peringatan kepada pengguna aplikasi untuk mengesahkan tarikh temu janji melalui aplikasi MySejahtera. -EDISI UKAS

Share

add comment