Tan Sri James Tinjau Gangguan Sistem Komputer Di Lembaga Pelabuhan Kuching

ISNIN, 19 APRIL 2021

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar (Dr) James Jemut Masing turun padang bagi meninjau gangguan sistem berkomputer di Lembaga Pelabuhan Kuching pada Isnin.

Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak dimaklumkan pihak Lembaga Pelabuhan Kuching telah mengalami masalah gangguan sistem komputer pada 27 Mac lepas.

Dalam tinjauan kerja itu, beliau telah meninjau masalah yang menggangu sistem pengurusan terminal kontena atau ‘Container Terminal Management System’ (CTMS) di Lembaga Pelabuhan Kuching.

Sementara itu, dalam satu kenyatan media yang dikeluarkan oleh pejabatnya, beliau memberitahu bahawa masalah tersebut telah menyebabkan kesesakan di terminal kontena.

Dalam pada itu, jangka masa transaksi pula kini mengambil masa selama dua jam atau lebih berbanding dengan transaksi normal yang hanya memerlukan 45 minit.

Pihak Lembaga Pelabuhan Kuching juga terpaksa menggunakan cara manual sementara menunggu sistem komputer kembali beroperasi seperti biasa.

Selain itu, masalah tersebut juga menyebabkan beberapa buah syarikat perkapalan mengenakan bayaran tambahan kepada pelanggan mereka dan secara tidak langsung memberikan perspektif negatif masyarakat kepada Lembaga Pelabuhan Kuching.

Pihak syarikat perkapalan yang berkenaan juga telah meletakkan bayaran tambahan dan bukannya daripada pihak Lembaga Pelabuhan Kuching.

Hadir sama dalam lawatan kerja tersebut adalah Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching, Dato’ Awang Bemee Pengiran Ali Basah, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datu Safri Zainudin dan Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Sarawak, Robert Lau Hong Thiam. –EDISI UKAS

Share

add comment