SELASA, 20 APRIL 2021
SEBUYAU: Sempena bulan Ramadan ini, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi telah menyerahkan sumbangan ikhlas berupa buah kurma sebanyak 2,003 kotak kepada penduduk beragama Islam di Sebuyau pada Selasa.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau telah melakukan simbolik penyerahan buah kurma itu di Pusat Khidmat DUN Sebuyau.
Menurutnya, sebanyak 19 buah kampung di kawasan akan menerima sumbangan buah kurma berkenaan menerusi ketua masyarakat dan ketua kaum di kawasan masing-masing.
“Sambutan bulan Ramadan kali ini amat berbeza seperti tahun-tahun lepas ekoran kerajaan masih menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak COVID-19.
“Jadi, saya berharap semua pihak agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.
Program penyerahan sumbangan buah kurma itu turut dihadiri oleh Pegawai Tadbir Sarawak, Sebuyau, Ajis Ahmad, Pemanca Masyarakat Melayu Daerah Simunjan, Asli Yahya dan Ketua Masyarakat Kampung Sampat Sebangan, Martasan Bujang. -EDISI UKAS