Dua Projek RTP Siap & Satu Projek Akan Dilaksanakan di Tanjong Datu

SELASA, 20 APRIL 2021

LUNDU: Sebanyak dua Projek Transformasi Luar Bandar Sarawak (RTP) Tanjong Datu telah disiapkan dan satu lagi akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu berkata, projek tersebut akan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang sedang dikuatkuasakan.

“Tiada lagi program besar akan diadakan seperti sebelumnya kerana akan sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19 dan memastikan Daerah Lundu sentiasa dalam Zon Hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa meninjau projek siap di Kampung Sebat Baru Sematan dan projek Kemudahan Tempat Letak Kereta di Pantai Pandan Lundu serta menyaksikan penyerahan projek di Kampung Tabuan Sekambal Cina Lundu pada Ahad.

Antara projek siap ialah Naiktaraf Padang Sukan Kampung Sebat Baru Sematan oleh Kontraktor Khalifah Trading & Services oleh Agensi Pelaksana Majlis Daerah Lundu dengan peruntukan sebanyak RM150,000.

Turut siap adalah Naiktaraf Kemudahan Tempat Letak Kereta di Pantai Pandan Lundu oleh Syarikat Izzaf di bawah Agensi Pelaksana Majlis Daerah Lundu dengan peruntukan sebanyak RM200,000.

Manakala, bagi projek Naiktaraf Balai Raya Kampung Tabuan Sekambal Cina Lundu, Agensi Pelaksana Majlis Daerah Lundu telah menyerahkan projek kepada Syarikat REPO Enterprise untuk dilaksanakan dengan kos RM200,000.-EDISI UKAS

Share

add comment